Jumat, 27 Juli 2012

ARTIKEL " JAHMIYYAH"


ARTIKEL AGAMA ISLAM
C. JAHMIYYAH
Jahmiyyah nisbat kepada Jahm bin Shafwan, yang belajar pada Ja’d bin Dirham. Ja’d bin Dirham belajar pada Thalut. Thalut belajar pada Labib bin al-`Asham, seorang Yahudi, maka jadilah mereka semua murid-murid Yahudi.

Ajaran Jahmiyyah adalah tidak menetapkan nama-nama dan sifat-sifat bagi Allah, dan mereka beranggapan bahawa Allah adalah zat yang kosong dari nama-nama dan sifat-sifat, kerana menetapkan nama-nama dan sifat-sifat menurut anggapan mereka akan mengakibatkan kesyirikan dan berbilangnya sesembahan. Perkataan mereka itu adalah syubhat dan kekeliruan yang terkutuk.

Kita tidak tahu apakah yang akan mereka katakan tentang diri-diri mereka? Padahal salah seorang dari mereka menyatakan bahawa dirinya seorang yang alim, kaya, tukang dan peniaga. Begitu juga mereka menyatakan bahawa mereka mempunyai banyak sifat. Akan tetapi apakah yang demikian itu bermakna menunjukkan bahawa ia menjadi ramai orang?

Perkara ini bertentangan dengan akal, kerana tidaklah mesti dengan banyaknya nama-nama dan sifat-sifat, menjadikan berbilangnya Ilah (tuhan). Oleh kerana itulah ketika orang-orang musyrik dahulu mendengar Nabi SAW berdoa: “Wahai Yang Maha Pengasih, wahai Yang Maha Penyayang.” Mereka berkata: “Orang ini (Nabi) menyatakan bahawasanya dia hanya menyembah Tuhan yang satu sedangkan dia masih menyeru kepada Tuhan yang banyak.” Maka Allah SWT menurunkan firmanNya: “Katakanlah: “Serulah Allah atau serulah ar-Rahman, dengan nama yang mana pun kamu seru, Dia mempunyai al-asma’ul husna (nama-nama yang terbaik).” (al-Isra’: 110) Nama-nama Allah itu banyak dan hal itu menunjukkan kesempurnan dan keagunganNya, tidak menunjukkan kepada berbilangnya sesembahan sebagaimana yang mereka katakan. Adapun zat kosong yang tidak mempunyai sifat, maka tentunya hal ini tidak mempunyai wujud. Mustahil selama-lamanya jika ada sesuatu yang tidak mempunyai sifat, minimum dia mempunyai sifat wujud (ada).

Di antara syubhat mereka adalah: “Bahawa menetapkan sifat akan mengakibatkan penyerupaan, kerana sifat-sifat tersebut juga terdapat pada makhluk.” Perkataan ini adalah batil, kerana sifat-sifat pencipta sesuai denganNya dan sifat-sifat makhluk sesuai dengan mereka dan kedua-duanya tidak saling menyerupai. Sesungguhnya, berkumpul pada Jahmiyyah kesesatan dalam hal nama-nama dan sifat-sifat, kesesatan Jabariyyah dalam hal menetapkan takdir, di mana Jahmiyyah berkata: “Sesungguhnya seorang hamba tidak mempunyai kehendak dan tidak mempunyai usaha, dia hanyalah dipaksa dalam perbuatan-perbuatannya.” Ini bermakna bahawa jika dia disiksa kerana kemaksiatannya, maka dia adalah orang yang dizalimi, kerana (menurut mereka) kemaksiatan itu bukan perbuatannya dan dia hanyalah dipaksa untuk melakukan hal itu. Maha Tinggi Allah dari hal yang demikian. Dengan demikian mereka mengumpulkan Jabriyah dalam masalah takdir dan Jahmiyyah dalam hal nama-nama dan sifat-sifat dan mereka mengumpulkan pula dalam hal itu kepada perkara-perkara Murjiah, yang mereka gabungkan dengan pernyataan bahawa al-Qur’an adalah makhluk, maka jadikan mereka di atas kesesatan yang bertumpuk.

Berkata Ibnu Qayyim:
“(Huruf) jim dan jim kemudian bersama keduanya beriringan huruf-hurufnya dalam satu wazan Jabariyyah, Murjiah, dan jim Jahmiyyah. Maka perhatikanlah semuanya dalam satu timbangan, maka hukumilah dengan memperhatikan siapa yang terlepas dari ikatan iman.” Maksudnya, semua kumpulan sesat tersebut terdapat padanya huruf jim iaitu Jabariyyah, Murjiah dan Jahmiyyah, jadi semuanya ada tiga jim. Ketahuilah bahawa jim yang keempat adalah Jahannam.

Kesimpulannya, bahawa ajaran Jahmiyyah ini terkenal dalam hal meniadakan nama-nama dan sifat-sifat dari Allah SWT. Pecahan dari Jahmiyyah adalah ajaran Mu’tazilah, Asy’ariyah dan Maturidiyyah. Ajaran Mu’tazilah menetapkan nama-nama dan meniadakan sifat-sifat, tetapi dalam menetapkan nama-nama mereka menetapkan semata-mata hanya lafaz, yang tidak menunjukkan kepada makna dan sifat. Mereka dinamakan dengan Mu’tazilah (kumpulan yang memisahkan diri) kerana imam mereka yaitu Washil bin Atha’, adalah salah seorang murid Hasan al-Basri rahimahullah, seorang imam tabi’in yang mulia. Ketika Hasan al-Basri ditanya tentang pelaku dosa besar, apa hukumnya?… Maka beliau berkata dengan perkataan Ahlus sunnah wal Jamaah: “Sesungguhnya dia seorang mukmin yang kurang imannya, dinamakan mukmin kerana imannya dan fasik kerana dosa besarnya.” Akan tetapi Wasil bin Atha’ tidak mahu menerima jawapan dari gurunya, maka dia keluar dan berkata: “Tidak, aku beranggapan bahawa pelaku dosa besar bukan termasuk orang mukmin dan bukan pula orang kafir, ia berada di suatu kedudukan di antara dua kedudukan.” Kemudian dia memisahkan diri dari gurunya, Hasan al-Basri dan duduk di salah satu sisi masjid dan berkumpul dengan kaum dari kalangan awam jahil, yang mahu mengambil ucapannya. Seperti itulah da’i yang sesat di setiap zaman, mesti akan ada yang bergabung kepadanya dari kebanyakan manusia, inilah hikmah Allah. Mereka meninggalkan majlis Hasan al-Basri, syeikh Ahlus Sunnah yang majlisnya merupakan majlis kebaikan dan majlis ilmu tetapi mereka lebih suka memilih berkumpul dalam majlis seorang yang berfaham Mu’tazilah: iaitu Wasil bin Atha’, seorang yang sesat dan menyesatkan.

Banyak golongan yang serupa dengan mereka di zaman kita ini, mereka meninggalkan ulama Ahlus Sunnah wal Jamaah dan bergabung dengan golongan yang memiliki pemikiran yang menyimpang. Sejak waktu itulah mereka dinamakan Mu’tazilah, kerana mereka memisahkan diri dari Ahlus Sunnah wal Jamaah, yang mana mereka menafikan sifat-sifat yang ditetapkan oleh Allah swt dan menetapkan bagiNya nama-nama yang kosong dari makna dan menghukum pelaku dosa besar sebagaimana yang diyakini oleh Khawarij yaitu: Mereka kekal di dalam neraka. Akan tetapi Mu’tazilah bertentangan dengan Khawarij tentang hukum pelaku dosa besar di dunia, yang mana mereka mengatakan: “Sesungguhnya dia berada di suatu kedudukan di antara dua kedudukan, bukan orang mukmin dan bukan pula kafir,” sedangkan Khawarij mengatakan: “Kafir.” Maha Suci Allah! Apakah masuk akal bahawa manusia tidak mukmin dan tidak pula kafir? Sedangkan Allah SWT sendiri telah berfirman: “Dialah yang menciptakan kamu, maka di antara kamu ada yang kafir dan di antaramu ada yang beriman.” (ath-Thaghabun: 2).

Tidaklah Dia (Allah) mengatakan: Di antara kamu ada yang berada di suatu kedudukan di antara dua kedudukan. Tetapi adakah mereka (Mu’tazilah) memahaminya? Kemudian bercabang dari mazhab Mu’tazilah iaitu mazhab Asy’ariyyah. Asy’ariyyah dinisbatkan kepada Abul Hasan al-Asy’ari rahimahullah. Pada mulanya, Abul Hasan al-Asy’ari seorang yang berfahaman Mu’tazilah, kemudian Allah mengurniakan anugerah hidayah kepadanya sehingga dia mengetahui kebatilan mazhab Mu’tazilah, maka dia berdiri di masjid pada hari Jumaat dan mengumumkan bahwa dia berlepas diri dari mazhab Mu’tazilah dan melepaskan bajunya seraya berkata: “Aku melepaskan mazhab Mu’tazilah sebagaimana aku melepaskan bajuku ini.” Akan tetapi sesudah berlepasnya dia dari mazhab Mu’tazilah, lalu beralih kepada mazhab Kullabiyyah, iaitu pengikut Abdullah bin Sa’id bin Kullab. Abdullah bin Sa’id bin Kullab adalah seorang yang menetapkan tujuh sifat dan menafikan selainnya. Dia berkata: “Akal tidak dapat membuktikan kecuali hanya tujuh sifat saja iaitu: Al-Ilmu, al-Qudrah, al-Iradah, al-Hayah, as-Sam’u, al-Basyar dan al-Kalam (Sifat mengetahui, Mampu, Hidup, Mendengar, Melihat dan Berbicara).”

Dia berkata: “Inilah yang dapat dibuktikan/difahami oleh akal, adapun apa yang tidak ditunjukkan oleh akal, (menurut dia) tidak boleh ditetapkan.” Kemudan Allah mengurniakan kembali hidayah kepada Abul Hasan al-Asy’ari sehingga dia meninggalkan mazhab Kullabiyyah dan kembali kepada ajaran Imam Ahmad bin Hambal dan dia berkata: “Sekarang aku mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Ahlus Sunnah wal Jamaah, Ahmad bin Hambal, “Sesungguhnya Allah bersemayan di atas Arasy dan sesungguhnya Dia mempunyai tangan dan wajah.” Beliau menyebutkan hal ini dalam kitabnya Al-Ibanah `an Usul ad-Diyanah dan juga dalam kitabnya yang kedua Maqaalat al-Islamiyyin wa Ikhtilaf al-Musallin.

Disebutkan: Bahwasanya Abul Hasan al-Asy’ari berada di atas mazhab Imam Ahmad bin Hambal, walaupun masih tersisa padanya beberapa penyimpangan… Manakala pengikut Abul Hasan al-Asy’ari tetap berada di atas mazhab Kullabiyyah, dan kebanyakan mereka senantiasa berada di atas mazhabnya yang pertama, sehingga mereka dinamakan Asy’ariyyah, sebagai nisbat (penyandaran) kepada Abul Hasan al-Asy’ariyyah dalam mazhabnya yang pertama.

Adapun setelah beliau kembali ke dalam mazhab Ahlus Sunnah wal Jamaah, maka penisbatan mazhab ini (Asy’ariyyah) kepada beliau adalah suatu kekeliruan. Yang sebenarnya ialah: Mazhab Kullabiyyah bukan mazhab Abul Hasan al-Asy’ari rahimahullah, kerana dia telah bertaubat dari perkara itu. Dan beliau telah menulis tentang hal itu dalam kitabnya Al-Ibanah `an Usul ad-Diyanah yang menjelaskan secara terang-terangan kembalinya beliau berpegang sebagaimana yang diyakini pada Ahlus Sunnah wal Jamaah, khususnya Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah. Walaupun masih ada padanya beberapa penyimpangan misalnya perkataannya mengenai al-Kalam: “Sesungguhnya Kalamullah adalah makna tersendiri yang berdiri sendiri dengan zatNya. Dan al-Qur’an adalah pengulangan ucapan atau ungkapan dari kalamullah. Al-Qur’an itu bukan kalamullah itu sendiri.”

Inilah mazhab Asy’ariyyah pecahan dari mazhab Mu’tazilah dan mazhab Mu’tazilah pecahan dari mazhab Jahmiyyah, kemudiah berpecah-belah menjadi mazhab-mazhab yang banyak. Semuanya berasal dari mazhab Jahmiyyah.

  

Tidak ada komentar:

Posting Komentar

mohon komentarnya untuk mengembangkan blog ini. terima kasih